pRAKATA

 facebooktwitter

‘Penyair menjalin untukmu imejan benang kencana’ tulis Rabindranath Tagore dalam sebaris sajaknya. Baris ringkas tetapi puitis ini menggambarkan konsep sebuah puisi yang baik – sama ada dilihat secara luaran atau direnungi makna dalamannya.

 

Kencana dihargai bukan semata-mata kerana mutunya, tetapi juga keindahan yang kehadirannya tidak dapat dipisahkan daripada wujudnya. Sesuai dengan martabat kencana, penyulam yang arif tidak akan membuat tenunan biasa, sebaliknya mencitrakan sesuatu yang luar biasa dan kompleks, lantaran itu menawarkan tafsiran yang pelbagai.

 

Kebanyakan penulis menggunakan benang biasa lalu menjalin sesuatu gambaran yang jelas maknanya, dan mereka ini menganggap telah layak digolongkan sebagai ‘penyair’. Selama bertahun-tahun, dan mungkin buat selama-lamanya dalam hidup, mereka mungkin tidak berusaha menemukan benang kencana itu. Lebih malang, mereka lebih berasa selesa menggunakan benang biasa, tidak ambil peduli akan kewujudan benang kencana.

 

Penyair yang sentiasa ingin mencipta puisi bermutu tinggi, selalu berusaha mencari benang kencana terbaik, yang dengannya imejan kompleks dapat dijalin. Jalinannya mengapungkan pemikiran dari lubuk kemanusiaan yang dalam, sehingga dapat memberi pengalaman intelektual baharu kepada sesiapa yang membacanya. Gaya bahasanya terapung di permukaan nyata dan menyelinap ke belantara metafora penuh konotasi, sehingga dapat memberi pengalaman estetika baharu kepada sesiapa yang menghayatinya.

 

Sajak-sajak Zaen Kasturi memperlihatkan kesedaran tingginya untuk menuju ke arah jalinan yang kompleks serta padat makna itu. Telah lama ia memiliki benang kencana perpuisiannya, sehingga selayaknya sejak dua dekad yang lalu ia agak berbeza dengan penyair-penyair seangkatannya.

 

Membaca sajak-sajak Zaen Kasturi memberi kenikmatan bahasa yang membawakan makna berlapis-lapis. Alunan dan irama bahasanya membuai antara yang zahir- nyata dengan sfera sukma – maknawi. Zaen Kasturi telah membina gaya kepenyairan yang tersendiri, dan terus memperkukuhkannya.

 

Sebagai penyair yang terus mapan, masa depan Zaen Kasturi masih panjang serta menawarkan pelbagai kemungkinan kepenyairannya. Di tangannya sentiasa ada benang kencana, dan kita akan terus menanti jalinan-jalinannya yang memukau sebagaimana yang telah dilakukannya sebelum ini.
Setinggi-tinggi tahniah Zaen Kasturi.

Dr Anwar Ridhwan

SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

( Sasterawan Negara ke-10 )

 

 

 

 

 

laman web ini dihasilkan oleh QMINTEGRATED.COM

WWW.QMINTEGRATED.COM +6017-245 0285