facebook twitter

Muzium Sastera Melaka, ditubuhkan untuk mempamer dan menggalakkan penghayatan masyarakat terhadap perkembangan dunia sastera dari dahulu sehingga sekarang serta kelahiran tokoh-tokoh kesusasteraan Melayu dengan karya yang bermutu.

 

Muzium terulung di Malaysia yang memberikan penekanan kepada sejarah penulisan dan pengkaryaan bermula dari era awal penulisan, Cerita-cerita Rakyat, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hukum Kanun Melaka, Munsyi Abdullah sehingga ke tahap perkembangan Kesusasteraan Melayu Moden.

 

Penghormatan turut diberikan kepada penulisan berbentuk tradisional merangkumi pantun, gurindam, nazam dan puisi. Galeri Sasterawan Negara dan Penulis-penulis Melaka turut merupakan sebahagian tarikan utama untuk pelawat. Zaen Kasturi turut diberikan penghormatan sebagai seorang Sasterawan yang menjadi kebanggaan Negeri Melaka.

 muzium_sastera03

muzium_sastera01

 

Catitan pada panel :

Zaen Kasturi atau nama sebenarnya Zainal Palit dilahirkan di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru, Melaka. Beliau pernah menuntut di Universiti Malaya sehingga beroleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif. Zaen Kasturi merupakan seorang pendiam dan tidak banyak kehidupan peribadinya dibongkar kepada rakan taulan mahupun di media.

 

Zaen Kasturi melibatkan dirri dalam dunia penulisan pada pertengahan tahun 1980-an. Karyanya pernah memenangi hadiah dalam peraduan yang ditaja oleh ESSO-GAPENA, Utusan Publication dan MAYBANK-DBP.

 

Zaen Kasturi merupakan antara penulis yang idiosinkratik menghasilkan puisi-puisi dan cereka yang sukar difahami. Beliau juga kerap bermain dengan teknik penulisan yang “luar biasa”, penuh “keanehan”, lambang-lambang dan absurd. Zaen Kasturi mempunyai alasan kecenderungannya menulis puisi dengan pemilihan perkataan nadir iaitu bertujuan menenangkan naluri yang mengabaikan akar tradisi bangsa dan hanya mementingkan kemodenan.

 

Kumpulan cerpen dan puisinya yang diterbitkan antaranya ialah Yuda (1992), Fujiyama (1992) dan Rapsodi (1998). Sajaknya “Ke Ruang Kartasis” terpilih sebagai teks bacaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan dimuatkan dalam Mutiara Sastera Melayu Moden. Sajak itu juga sering menjadi pilihan peserta deklamasi Sayembara Puisi Kemerdekaan.