Hadiah Sastera Perdana Malaysia Pengiktirafan Tertinggi Sastera Kebangsaan

facebook twitter

HADIAH Karya Sastera diperkenalkan pada tahun 1971 melalui Jabatan Perdana Menteri Malaysia. YAB Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ketika itu memperlihatkan keprihatinannya untuk meningkatkan mutu karya kesusasteraan negara dan memberikan insentif kepada setiap karya yang memenangi hadiah.

 

Pada 24 Julai 1971, sebuah panel ditubuhkan untuk menilai dan meneliti genre karya sastera dalam bentuk novel, cerita pendek, sajak (antologi dan stensilan) dan drama yang dipertontonkan kepada umum sepanjang tahun 1971. Panel terdiri daripada penulis, peneliti dan pengkaji Kesusasteraan Melayu, diketuai oleh YBhg. Tan Sri Ghazali Shafie sebagai pengerusi.

 

hadiah2

 

Pada awalnya, Hadiah Karya Sastera diadakan pada setiap tahun, iaitu dari tahun 1971 hingga 1976. Sebanyak 1,374 buah sajak, 294 buah cerpen, tujuh buah novel dan empat buah drama telah dinilai. Karya yang dinilai adalah karya yang memiliki ciri-ciri universal dan bertunjangkan nilai masyarakat Malaysia.

 

Pengkategorian terbahagi kepada beberapa kategori seperti sajak, cerpen, antologi sajak, drama dua babak, novel dan penulisan esei/kritikan sastera. Anugerah pertama ini telah memberikan pengiktirafan kepada 30 orang penulis, antaranya, Ahmad Sarju (kategori puisi), Khadijah Hashim (kategori cerpen) dan Azizi Haji Abdullah (kategori novel).

 

Penilaian Hadiah Karya Sastera memperlihatkan kemunculan penulis muda berbakat besar seperti Anwar Ridhwan, Zakaria Ali, Latiff Mohidin, Zurinah Hassan, Fatimah Busu, Jaafar H.S., Azmah Nordin, Zahari Affandi, Zaihasra, Razak Mamat, T. Alias Taib dan Lim Swee Tin.  Penulis-penulis ini boleh dianggap sebagai “the new emergence” pada dekad tersebut.

 

Karya puisi dizahirkan melalui cetusan isu dan minda masyarakat dengan bertemakan kehidupan peladang dan nelayan, masalah ekonomi, politik dan sosial, isu semasa, agama dan tokoh seni. Karya cerpen pula lebih cenderung pada tema kehidupan luar bandar.

 

Karya yang dihasilkan oleh penulis seperti Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Arena Wati, Noordin Hassan, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Abdullah Hussain masih memperlihatkan kehalusan pengucapan seni, merentas waktu hingga mencecah alaf baru.

 

cert - penghargaan

 

Pada 11 November 1977, semasa berucap dalam majlis penganugerahan Hadiah Karya Sastera 1976, YAB Dato’ Hussein Onn telah menyatakan hasrat kerajaan untuk memberikan penghargaan kepada Sasterawan Negara.

 

Serentak dengan itu, panel Hadiah Karya Sastera dibubarkan dengan harapan mendapat perhatian daripada pihak swasta untuk menerbitkan karya-karya sastera.

 

Pada 1981, YAB Dato’ Musa Hitam, Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, mencadangkan agar kerajaan mewujudkan semula Hadiah Karya Sastera yang dihentikan selama lima tahun, lantaran sambutan dingin daripada pihak swasta untuk menerbitkan karya-karya penulis.

 

Hadiah Sastera Malaysia dan penilaian dilakukan secara dwitahunan, bermula pada tahun 1982/1983. Penilaian karya-karya penulis diperluaskan dan meliputi buku kajian dan terjemahan dengan mengambil kira aspek puisi, cerpen, esei/kritikan dan novel. Kemunculan penulis bukan Melayu yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia juga menggambarkan keupayaan bahasa Melayu sebagai media pengucapan pelbagai kaum di Malaysia.

 

 

cert - watikah