ccp

facebooktwitter

Petikan

“Zaen mencari kelainan, yang mendekati faham “penganut” avant-garde. Agak mirip kepada absurd-surealistik, kerana pengembangan ceritanya banyak kepada ilusi dan imaginasi. Tetapi, bukan maksud saya, absurd klasik, absurd moden yang terpesona pada teknologi pembinaan infrastrukturnya, sedangkan jiwanya adalah Melayu. Zaen sedar dia hidup di tengah-tengah masyarakat sastera yang memiliki pelbagai teori baru dalam penciptaan.”

(Mana Sikana, “Penjelajahan Metafizik dalam Yuda”, Dewan Sastera, Januari 1994)

 

“Walaupun Zaen dianggap penyair yang menggunakan lambang peribadi dalam puisinya, perlambangan yang bersifat peribadi itu rata-rata menyangkut nilai intelektual yang berunsur sosio-budaya. Puisi Zaen mempunyai kekuatan yang sukar diajuk-ajuk, ditiru-tiru. Kekuatan puisinya dibantu kuat oleh pengalaman membacanya yang luas dalam ilmu sastera dan dalam penguasaan kosa kata Melayu secara sentuh-libat.”

(Arbak Othman, “Penjelajahan Intelektual dalam Puisi Zaen Kasturi”, Berita Harian, 31 Mei 2001)

 

“Dalam soal bahasa ini, kita yakin bahawa pengarang yang besar dan layak disebut sasterawan itu sebenarnya adalah insan yang semakin tabah usahanya mempertahankan dan memartabatkan bahasa dan budaya bangsanya. Zaen Kasturi sedang bekerja keras ke arah itu. Kita yakin, ciri atau sifat-sifat yang berlawanan dengan kriteria tamadun dan syarat penting sasterawan ini tidak ada setitik pun dalam diri manusia bernama Zaen Kasturi. Sesungguhnya, semangat semacam inilah yang harus tumbuh serta dibajai ke dalam roh pengarang muda kita hari ini, andainya mereka mahu dinobat sebagai sasterawan pada masa hadapan.”

(A. Rahim Abdullah, “Menyelami Nada Rapsodi Zaen Kasturi”, Dewan Sastera, Januari 2011)

 

“Sebenarnya, huraian yang panjang lebar tentang makna dan pemikiran Zaen Kasturi dalam Iga tidaklah diperlukan. Sajak-sajak dalam kumpulan ini membawa kita menikmati kaedah bersajak itu sendiri. Dalam bahasa linguistik, dalam Iga signifier ialah signified. Kedua-dua segi berbahasa, iaitu gaya dan isi muncul serentak, sehingga kita tidak perlu menceraikannya. Zaen Kasturi sebenarnya berjaya dalam menyampaikan sajak berpendekatan begini.”

(Rahman Shaari, “Merenung Makna Kesepian dalam Iga”, Dewan Sastera, Januari 2011)

 

“Setiap karya yang dihasilkan oleh Zaen Kasturi selalunya mendukung pemikiran yang tinggi, seolah-olah kalau tidak memberikan pemikiran yang besar dan bermakna, beliau tidak akan berkarya.”

(Laporan Jawatankuasa Pemilihan S.E.A Write Award 2010)

 

 “Yuda menjadi simbol kepada cita-cita baru angkatan penulis muda yang selama ini mencari keyakinan diri di tengah-tengah arus sastera setempat dengan mencetuskan pelbagai konflik, kontroversi, polemik dan ‘rusuhan suara’ semata-mata untuk mengemis pengiktirafan.

          Orientasi ‘riuh rendah’ yang menjadi slogan perjuangan mereka harus dihentikan kerana kemenangan Yuda sudah membuktikan kepada umum bahawa tempat bagi seorang penulis muda mencipta nama sebagai karyawan ialah kualiti karya itu sendiri.”

 (Zainal Rashid Ahmad, “Zaen dengan Idealismenya”, Utusan Malaysia, 6 Oktober 1994)


 

laman web ini dihasilkan oleh QMINTEGRATED.COM

WWW.QMINTEGRATED.COM +6017-245 0285